Sunday, September 2, 2012

Buat Kamu Yang bergelar 'kaum Adam'

Posted by Ayesha Abdul Mannan at 11:06 PM
Assalamualaikum...


 Saya ingin menjawab soalan yang kamu kemukakan dua hari lepas berkenaan kesediaan dan kesudiaan diri saya yang hina dina ini untuk menerima kamu. Semoga jawapan saya ini memberikan penjelasan kepada kamu dalam persoalan yang bermain-main di fikiran….


Semenjak pertama kali kita berkenalan, sudah saya perjelaskan bahawa saya tidak boleh menerima kamu. saya tidak boleh menjadi teman hidup kamu. saya tidak boleh menyambut seruan suci dari hati kamu yang memaksudkan kesempurnaan dalam beragama. Untuk keputusan dan pendirian saya ini, saya amat memohon maaf dari kamu, saya tidak langsung berniat mengecewakan kamu. menghalang niat suci kamu. mematikan harapan kamu untuk manjadi seorang suami dan seorang imam. Pendirian saya ini adalah berdasarkan apa yang saya cita-citakan dalam hidup ini, apa yang saya impikan dalam menyempurnakan sebahagian agama saya. 


Halangan yang saya maksudkan dahulu adalah dalam diri saya dan dalam diri insan yang akan saya pilih menjadi imam saya. Halangan dalam diri saya ialah beberapa perkara yang belum saya capai dan sempurnakan dalam cita-cita saya menjadi seorang hamba yang solehah. Halangan dalam diri saya itu ialah ciri-ciri yang saya impikan untuk menjadi teman hidup saya dan menjadi bapa kepada anak-anak saya. Saya tidak bermaksud untuk terlalu memilih dalam mencari jodoh tetapi sebolehnya saya mahukan seorang suami yang boleh membimbing diri saya yang banyak kekurangan dan kelemahan ini kearah keredhaan ALLAH. 


Niat suci yang terdetik di hati kamu tu tidak seharusnya tergantung dengan penerimaan atau penolakan saya. Setiap manusia yang mempunyai hati pasti menginginkan untuk mengasihi dan dikasihi, menginginkan untuk memiliki seseorang yang menemani sepanjang hidup, menginginkan cahaya mata yang menyinarkan kebahagian dan keindahan dalam hidup. Tapi, tidak semestinya semua yang kita mahukan dan inginkan akan diberi oleh ALLAH, kerana ALLAH mahukan apa yang terbaik untuk kita. Kemungkinan apa yang kita inginkan itu bukan yang terbaik untuk kita, lantas ALLAH tidak memberikannya kepada kita, dan ALLAH pasti akan memberikan gantinya.


Apa yang terbaik untuk kita adalah dengan meminta daripada ALLAH apa yang terbaik untuk kita, bukan memadai dengan membuat keputusan melalui pandangan mata atau pendengaran telinga. Kamu sebagai seorang lelaki yang memiliki ilmu agama perlu meneruskan perjuangan dakwah dan ilmu, demi kebahagian yang abadi. Semoga ilmu yang disampaikan menjadi butiran tasbih di bibir kita. Ameen.


Sekuntum bunga cinta yang pernah mekar di hati kamu jangan dibiarkan layu hanya kerana ketidaksudiaan dari diri seorang hamba hina seperti saya, biarkan ia terus mekar dengan disirami ketakwaan dan keimanan, InsyaAllah, kamu akan menemui seorang hamba ALLAH yang telah ditulis di suratan takdir untuk dirimu. Teruskan dahulu perjuangan di situ. Mungkin di situlah kebahagian yang hakiki buat diri kamu.





Semoga kita sentiasa bersabar dengan segala ujian yang dilalui. Sama-sama kita muhasabah diri dan sentiasa cuba membaiki kelemahan diri kita. Maaf untuk segalanya...


0 comments on "Buat Kamu Yang bergelar 'kaum Adam'"

Post a Comment

 

The Pieces Of Life Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal